Isnin, 9 September 2013

Persiapan menghadapi UPSR



 UPSR.... OH  UPSR.........

10 September 2013(Selasa)
B.Melayu Pemahaman/ B. Melayu Penulisan/ Matematik 2

11 September 2013 (Rabu) 
Matematik 1

12 September 2013 (Khamis)
Sains / English 1/ English 2/ Ujian Aptitud

Esok  peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah UPSR akan menjelang tiba. Tentu pelajar-pelajar terlibat akan rasa berdebar-debar. Selain kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau mengikuti kelas tuisyen, murid-murid juga perlulah mengulangkaji secara berterusan samada secara berkumpulan atau individu. Perbincangan yang diadakan bersama rakan-rakan akan mencambah pemikiran dan menambah pengetahuan.

            Murid-murid juga perlulah menjaga kesihatan diri dengan melakukan riadah yang minima, makan makanan seimbang, tidur yang mencukupi dan menjaga emosi. Jangan sekali-kali terlibat dengan aktiviti yang boleh menganggu emosi seperti bergaduh, dimarahi oleh guru atau ibu bapa.
           
                Sebagai seorang Muslim, adalah sangat penting untuk murid-murid sentiasa menjaga solat dan jangan lupa berdoa kepada Allah supaya dikurniakan ketenangan hati dan dipermudahkan sewaktu menjawab soalan peperiksaan. Untuk berjaya, murid-murid mesti yakin pada diri sendiri. Sentiasalah memberi semangat dan galakan untuk diri sendiri seperti "Aku Boleh" Aku Pasti Boleh" "Insyallah aku boleh lakukan yang terbaik untuk diriku, ibu bapaku, guru-guruku dan sekolahku yang ku sayangi".

            Sehari sebelum peperiksaan, murid-murid mestilah berupaya mengawal emosi. Teruskan mengulangkaji pelajaran dengan membaca nota-nota ringkas. Semak jadual peperiksaan dan pastikan tarikh dan masa peperiksaan telah dikenalpasti. Alatan menulis seperti pensil dan pemadam telah lengkap termasuk surat beranak atau kad pengenalan. Lakukan solat hajat atau membaca yasin supaya dikurniakan ketenangan sewaktu menjawab soalan peperiksaan disamping mohon restu dari ibu bapa. Walaupun bimbang atau risau dengan peperiksaan berkenaan, murid-murid mestilah tidur awal kerana tidur yang mencukupi akan membantu kita untuk bangun awal pagi dan dapat berfikir dengan waras.Tidur yang mencukupi akan membuatkan kehidupan seharian kita akan berjalan lancar.

            Hari peperiksaan adalah hari yang sangat penting. Pastikan murid-murid bangun awal pagi. Lakukan solat dan jangan lupa berdoa. Sebelum ke sekolah murid-murid mestilah mengambil sarapan pagi dan mohonlah restu dari kedua ibu bapa. Murid tidak akan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan selesa sekiranya perut kosong. Teruskan berdoa sebelum melangkah kaki ke dewan peperiksaan.Mulakan dengan langkah kanan. Jangan berbincang tentang pelajaran sebelum masuk ke dewan peperiksaan kerana waktu ini adalah waktu yang tidak sesuai. Sentiasalah tersenyum kerana senyuman akan dapat membantu  mengurangkan rasa gementar.

            Di dalam dewan peperiksaan, murid-murid bolehlah terus berdoa disamping mendengar arahan dari ketua pengawas peperiksaan. Murid-murid adalah digalakkan membaca semua soalah sepintas lalu dan menjawab soalan yang mudah terlebih dahulu. Sentiasalah semak baki masa yang ada. Sekiranya murid telah selesai menjawab, jangan lupa semak jawapan. Pastikan jawapan yang diberi itu adalah betul dan tepat. Sekiranya murid rasa tertekan, banyakkan beristighfar dan melakukan relaksasi dengan cara tarik nafas melalui hidung dan menghembus nafas melalui mulut. Lakukan berulang kali sehingga murid-murid rasa tenang. Sekiranya rasa tertekan itu berterusan, muird-murid bolehlah meminta bantuan dari ketua pengawas peperiksaan.

            Setelah selesai peperiksaan, murid tidak digalakkan berbincang tentang jawapan. Terus pulang ke rumah dan berehat. . Murid-murid boleh meneruskan mengulangkaji pelajaran dan berdoa. Lakukan solat hajat dan bertawakallah kepada Allah semoga  murid-murid diberikan kemudahan sewaktu menjawab soalan peperiksaan.

            Cikgu sentiasa mendoakan murid-murid SK Dato' Demang Hussin akan dapat melakukan yang terbaik. Insyallah. Jika niat kita ikhlas, sabar, sentiasa berdoa dan sentiasa mendapat redha dari Allah, ibu bapa, guru-guru dan sentiasa mengembirakan kawan-kawan , insyallah.

 Selesai menduduki peperiksaan UPSR, murid-murid akan menduduki Ujian Aptitud. Murid juga mestilah berusaha untuk menjawab secara bersungguh-sungguh. Jangan anggap Ujian Aptitud tidak penting. Keputusan ujian tersebut akan membantu murid untuk melayakkan ke Sekolah Berasrama Penuh. Oleh itu buatlah yang terbaik juga untuk Ujian Aptitud.!!!!!





DO YOUR BEST! TRY YOUR BEST!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan