Rabu, 20 November 2013

Memanafaatkan masa cuti sekolah

Cuti sekolah akhir tahun telah pun bermula. Pasti ramai murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menanti waktu cuti sekolah dengan perasaan tidak sabar. Bermacam-macam agenda telah dirancang sebelum cuti sekolah lagi samada oleh pelajar mahupun ibu bapa sendiri. Namun bagi pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan STPM, teruskan perjuangan untuk menggapai impian menjadi seorang yang berjaya pada suatu hari nanti. 

          Dalam waktu cuti persekolahan inilah ramai yang akan  mengadakan majlis perkahwinan. Ibu bapa tentu telah berkira-kira memohon cuti untuk pulang ke kampung bagi menziarahi keluarga terutama ibu bapa dan juga mengunjungi majlis perkahwinan saudara terdekat. Sambil pulang ke kampung bolehlah ibu bapa mengambil kesempatan menziarahi sanak saudara . Anak-anak zaman sekarang ini mungkin ramai yang tidak mengenali sepupu, mak saudara, ibu saudara , datuk saudara mahupun nenek saudara sekiranya kita sebagai ibu bapa tidak rajin pulang ke kampung dan  menziarahi keluarga terdekat. Sambil berziarah dapat juga mengeratkan silaturrahim dan menikmati keindahan kampung.

 


          Bagaimana ingin mengisi masa terluang sempena cuti sekolah ini. Pelajar bolehlah membantu ibu bapa di rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, menyapu sampah, menjaga adik, menyiram pokok bunga dan lain-lain.Pertolongan yang pelajar lakukan mestilah ikhlas bukan kerana terpaksa dan melakukannya dengan muka yang masam mencuka.Ibu bapa tentu berasa gembira kerana pelajar rajin membantu mereka di rumah.

         Ada sekolah yang mengadakan kelas tambahan bagi murid-murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun 2014 juga kelas tambahan bagi murid-murid yang belum menguasai literasi dan numerasi. Tahniah kepada semua guru-guru yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk tujuan tersebut. Semoga usaha murni ini akan berterusan dan menjana kecemerlangan akademik dan sekaligus murid-murid telah mengisi masa lapang dengan menghadiri kelas tambahan dan melakukan aktiviti yang berfaedah. Bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM pada tahun hadapan, manafaatkanlah waktu cuti sekolah ini dengan mengulangkaji pelajaran. Buatlah jadual waktu belajar supaya selain mengulangkaji pelajaran, pelajar juga ada masa untuk membantu ibu bapa di rumah.


    
 Selain itu mungkin ada juga ibu bapa yang menghantar anak menghadiri program motivasi dan berbentuk kerohanian. Pada pendapat saya , ada penganjur yang mengenakan bayaran yang agak mahal untuk sesuatu program tetapi sebagai ibu bapa mungkin mereka berasa agak berbaloi dengan input yang didapati yang diharap akan dapat mengubah pelajar menjadi lebih berhemah , berketerampilan dan menjadi anak dan insan yang kamil. Insyallah.

       Tentu ramai pelajar yang telah khatam Al-Quraan. Ingin saya mencadangkan supaya pelajar membaca Quraan bersama ahli keluarga yang lain. Ibu bapa dan ahli keluarga saling memperbetulkan bacaan Quraan dengan tajwid dan taranum yang betul. Abang atau kakak boleh mengajar adik-adik. Selain mendekati, mendalami bacaan quraan tentu juga akan dapat mengeratkan silaturrahim seisi keluarga.

 

                                                     Membaca al-Quraan bersama keluarga

         Ada kalangan ibu bapa yang bercadang membawa keluarga melancong samada dalam atau luar negara.Apabila menyenaraikan tempat yang ingin dilawati jangan lupa pada tempat menarik di negara kita Malaysia. Bumi bertuah ini mempunyai keunikan yang jarang-jarang didapati di negara lain. Pantainya yang cantik, bentuk muka buminya yang menarik untuk melakukan pelbagai aktiviti, makanannya yang pelbagai variasi dan enak juga rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya, ramah dan bersopan santun. Bertuahlah kepada anak-anak yang berpeluang melancong bersama keluarga. Tetapi bagaimana dengan pelajar yang tidak berpeluang kerana ketidakmampuan ibu bapa. Jangan bersedih hati, tanamkan semangat yang kuat untuk belajar, berjaya dan menjawat jawatan yang tinggi pada suatu hari nanti. Selepas itu bolehlah pelajar melancong  ke tempat-tempat yang menjadi idaman tetapi jangan lupa untuk  membawa bersama ibu bapa.


 
Bukit Fraser Pahang


          Waktu cuti sekolah ini juga, sekolah memandu tentu menjadi tumpuan pelajar yang ingin mendapatkan lesen memandu. Belajar memandu kereta atau menunggang motosikal, yang penting ibu bapa dan pelajar telah ada kesedaran untuk memiliki lesen memandu . Walaupun harganya agak mahal, namun ibu bapa rela berkorban demi anak-anak dan tidak akan membiarkan pelajar melanggar peraturan jalan raya kerana memandu tanpa lesen.









          Ramai juga dalam kalangan pelajar yang minat membaca. Saya mencadangkan manafaatkan masa cuti sekolah ini dengan membaca bahan bacaan yang menjadi kegemaran. Ibu  bapa bolehlah membawa anak-anak mengunjungi kedai buku berhampiran untuk mendapatkan bahan bacaan. Samada bahan bacaan berbentuk ilmiah atau hiburan, yang penting biarkan bahan bacaan itu bersifat informasi.Membaca sambil bersantai bersama keluarga tentu akan dapat mengeratkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

         Selain mendapatkan buku di kedai buku, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi perpustakaan awam negeri atau perpustakaan yang dibina  di setiap komuniti. Pastikan pelajar ke perpustakaan bersama keluarga atau bersama kawan-kawan untuk menjamin keselamatan pelajar.


 

Budaya membaca budaya kita
        

1 ulasan:

  1. salam cikgu, menarik entry ini. minta kebenaran memanfaatkan artikel ini ye? tq..

    BalasPadam